Penubuhan Sekretariat Nukleus Narkotik usaha perangi penyalahgunaan dadah

KUCHING: Penubuhan Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) di Tebedu merupakan langkah strategik dalam usaha memerangi isu penyalahgunaan dadah di Sarawak.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Dato’ Khaw Kok Chin, SNN berperanan sebagai pusat maklumat dan hubungan antara agensi tempatan dengan rakan sejawat mereka dalam pertukaran maklumat berkaitan penyeludupan dadah.

Selain itu, ia bertujuan memastikan tindakan yang cepat dalam mengendalikan maklumat berkaitan aktiviti dadah.

“Maklumat disalurkan secara terus ke Bukit Aman dan kontinjen Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya akan menambah jumlah anggota dengan membuka sebanyak 128 kekosongan jawatan anggota polis JSJN di 13 daerah di Sarawak.

Menurutnya, ia bagi mengisi jawatan-jawatan kosong daerah berkenaan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan yang memerlukan lebih banyak anggota penguatkuasa.