SIMANGGANG: Pertubuhan Belia KebangsaanBersatu Sarawak (SABERKAS) menjadi landasan penyatuan golongan belia untuk mencorak generasi pelapis pemimpin baharu.
Presiden SABERKAS Negeri Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu banyak melahirkan pelapis pemimpin yang mempunyai jati diri kuat serta berjiwa rakyat.
“Pertubuhan belia terbesar di Sarawak ini akan menjadi pertubuhan yang dapat membantu menarik belia dengan pelbagai program yang membentuk akhlak dan sahsiah peribadi yang berguna.
“Ramai belia mempunyai ciri-ciri kepimpinan terbaik dilahirkan melalui SABERKAS sepanjang 51 tahun ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS 2024 di Masjid Bandar Sri Aman hari ini.
Katanya, pemilihan tarikh perasmian hari ini merupakan tarikh yang sama SABERKAS ditubuhkan iaitu pada 19 Mac 1973.
Jerayawara memasuki edisi ke-20 itu menyaksikan sekitar 1,000 paket bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai dan jemaah masjid yang hadir.
Selain itu, Abdul Karim turut menyumbangkan bakul makanan kepada 60 golongan asnaf dan saudara baru daripada tiga kawasan cawangan SABERKAS di Sri Aman.
