BALINGIAN: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak akan membina 22 unit Rumah Spektra Permata (RSP) di sini, bagi memenuhi keperluan penduduk.
Pengerusi HDC Abdul Yakub Arbi berkata, projek itu akan dibina menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) di bawah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Mukah.
“Pembinaan ini perlu bagi memenuhi keperluan rakyat untuk mendapatkan rumah di daerah ini dengan harga murah,” katanya dalam Majlis Penyerahan Tapak Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Balingian, Mukah di Tapak RSP SPK Balingian, Mukah, semalam.
Projek RSP Balingian yang berharga sebanyak RM10,312,526.50 akan memulakan kerja-kerja pembinaan sebaik sahaja selesai majlis penyerahan tapak itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian itu juga menegaskan, Kerajaan Sarawak (GPS) tidak pernah gagal untuk melaksanakan rancangan yang telah diumumkan walaupun mengambil masa.
RSP merupakan program perumahan menerusi inisiatif Kerajaan Sarawak yang dibangunkan HDC bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
