KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKM) memperuntukkan sebanya RM474,255 untuk Program Sumbangsih Raya 2024.
Menteri KPWKM, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program itu sebagai menzahirkan tanda keprihatinan, ingatan ikhlas serta penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap pengorbanan anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang bertugas pada hari lebaran.
“Tahun ini merupakan kali ke-34 Kerajaan Sarawak mengadakan Program Sumbangsih Raya yang mula diperkenalkan pada tahun 1990 oleh Biro Wanita,” katanya pada majlis simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 kepada 11 agensi keselamatan dan penguatkuasaan di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan Sumbangsih Raya itu kepada ketua dan wakil agensi-agensi terbabit. Isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Haji Bujang hadir sama.
Sebanyak 11 agensi menerima 12,000 unit Sumbangsih Raya itu ialah Angkatan Tentera Malaysia, Pois DiRaja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam DiRaja, Jabatan Pengangkutan Jalan (JP), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Fatimah berkata, Sumbangsih Raya pada kali ini menyediakan lima jenis barangan berupa makanan dan minuman iaitu serunding daging, kek buah, kacang botak, kad ucapan Hari Raya dan kopi serta teh tiga dalam satu.
“Selain itu, kita juga menyediakan kad ucapan Hari Raya sebagai tanda ingatan Kerajaan Sarawak kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran nanti,” katanya.
Sumbangsih Raya yang disediakan untuk anggota keselamatan dan penguatkuasaan walaupun kecil tetapi membawa erti keikhlasan yang sangat besar bukan sahaja kepada penerima malaha kepada semua pihak yang terlibat, tegas beliau.
