LAWAS: Sarawak akan terus berbincang dengan Brunei untuk mengembalikan waktu operasi masa di pintu masuk sempadan sehingga 12 tengah malam.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketika ini tempoh pembukaan pintu masuk hanya dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
Katanya, ini menimbulkan kesukaran kepada orang ramai khususnya semasa musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Simpati dengan mereka yang terpaksa tidur dalam kereta dan kita akan meneruskan perbincangan dengan rakan kita di Brunei,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mengkalap Trusan di sini, semalam.
Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
