LUNDU: Peniaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu disaran menggunakan kod QR pembayaran tanpa tunai.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN)Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, ini untuk memudahkan pembeli kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli-belah.
“Peniaga pula boleh menjimatkan masa di samping dapat menyimpan transaksi perniagaan,”katanya ketika merasmikan Bazaar Ramadan Majlis Daerah Lundu 2024, di sini, semalam.
Di samping itu, Azizul menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) di bazar terbabit.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Matthew Dominic, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lundu, Kaunselor Abdul Razak Abdul Wahab dan Wakil Pegawai Daerah Lundu, Muhammad Isa Limo.
