KPWKM perluaskan perkhidmatan luar bandar, tangani kos sara hidup

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendekati masyarakat luar bandar menerusi prinsip perkhidmatan secara terus ke akar umbi, kata menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri.

Jelas beliau, prinsip tersebut dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan di kawasan tersebut tercicir daripada menerima bantuan kebajikan.

“Kementerian tidak menunggu rakyat datang mencari bantuan.

“Sebaliknya, kami mengambil inisiatif turun padang melalui pelbagai siri jerayawara, termasuk konvoi Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) serta klinik bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan Timbalan Naib Canselor i-CATS Profesor Dato’ Dr. Shazali Abu Mansor.

Tegas Nancy lagi, usaha tersebut turut diperkukuhkan dengan peranan sukarelawan mereka di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ujarnya, sukarelawan akan bertindak mengenal pasti penduduk kampung yang layak namun terlepas pandang atau tidak tahu cara memohon bantuan.

“Setakat 31 Ogos lalu, sejumlah 1,417 sukarelawan direkodkan di Sarawak. Daripada jumlah itu, 480 adalah lelaki dan 937 pula wanita.

“Manakala jumlah sukarelawan di seluruh negara mencecah 7,397 orang iaitu 2,033 lelaki dan 5,364 wanita,” katanya.

Kementerian juga katanya, menyasarkan pertambahan bilangan sukarelawan mengikut saiz dan keperluan setiap lokaliti bagi memupuk rasa kepunyaan dalam kalangan komuniti dengan sasaran satu rumah seorang sukarelawan.

Mengulas mengenai faktor kos sara hidup yang mempengaruhi kadar kelahiran dan trend pasangan memilih untuk tidak memiliki zuriat, beliau menjelaskan bahawa KPWKM turut menyediakan sokongan menyeluruh menerusi program Smart Start.

Program ini ujarnya, akan membimbing pasangan dari peringkat praperkahwinan, pengurusan kewangan keluarga, hingga ke fasa keibubapaan.

“Bagi pasangan yang berdepan masalah kesuburan, bantuan rawatan seperti IUI dan IVF disediakan, selain sokongan kesuburan khusus untuk golongan lelaki.

“Kita turut menawarkan Program Kasih serta inisiatif pemulihan hubungan seperti bulan madu kali kedua dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan bagi membendung isu perceraian,”ujarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI