Pemain industri perlu lebih aktif lahirkan tenaga kerja

BINTULU: Pemain industri digesa memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan bakat tempatan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ini kerana pihak itu tidak boleh hanya menunggu tenaga kerja berkemahiran muncul dalam pasaran pekerjaan.

“Industri perlu berkongsi keperluan kompetensi, menyediakan pendedahan industri bermakna, menyokong peningkatan kemahiran berterusan dan membantu mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas untuk bakat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kesedaran Teknikal API 510 dan API 570 Edisi Sarawak serta pembukaan rasmi cawangan baharu IDC Training House di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Selain itu, Roland Sagah berkata pembukaan cawangan baharu Pusat Latihan IDC (IDC Training House) di sini mampu memperluaskan akses tenaga kerja Sarawak kepada latihan teknikal khusus dan pembangunan kompetensi bertaraf antarabangsa.

“Keperluan itu amat relevan bagi Bintulu yang merupakan antara hab utama industri minyak dan gas, gas asli cecair (LNG), petrokimia, pembuatan dan sektor tenaga di Sarawak,” tambahnya.

Beliau berkata, sebelum ini profesional serta syarikat dari Sarawak mendapatkan latihan itu di Semenanjung atau luar negara melibatkan kos lebih tinggi serta masa panjang.