Kuala Rajang berpotensi kawasan jelapang padi

TANJUNG MANIS: Kuala Rajang berpotensi besar sebagai salah satu lagi jelapang padi Sarawak susulan mampu menjadi pengeluar hasil pertanian dan perikanan utama di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, cadangan itu bakal dikemukakan kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Bagi kawasan utara, Premier Abang Johari telah meluluskan RM500 juta bagi tujuan penanaman padi dan insfrastruktrur berkaitan.

“Matlamat, kita sekurang-kurangnya dalam tempoh yang singkat untuk membangunkan tidak kurang daripada 25,000 hektar, saya tahu kawasan ini juga sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.41 Kuala Rajang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berharap Tanjung Manis dapat diisytihar sebagai kawasan penanaman padi.

“Dengan pengisytiharan ini, maka kita akan menikmati subsidi daripada persekutuan selain memberi manfaat dan kesan positif iaitu peningkatan kegiatan pertanian, kawasan tanah dapat digunakan secara optimum, meningkatkan penyertaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) meluluskan 65 projek bernilai RM1.5 bilion.

Ia membabitkan projek sektor pertanian yang merupakan salah satu daripada kemakmuran ekonomi dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS) 2030.