DARO: Taklimat dan penerangan inisiatif dan strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak dicadang di peringkat kampung di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, ini kerana penduduk Daro begitu berselerak di bawah pentadbiran Daerah Sibu, Meradong, Matu dan Daro.
“Barangkali kita boleh adakan peringkat lebih dekat lagi (dengan penduduk Daro), mungkin peringkat zon atau kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak, di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.
Majlis taklimat itu diadakan sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik anjuran Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Daro dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro.
Safiee Ahmad yakin melalui taklimat itu, usaha menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif PCDS 2030 akan sampai ke peringkat akar umbi dan mereka percaya dengan pelaksanaan inisiatif itu.
“Saya berharap ia diteruskan di masa akan datang dan pada masa sama, kita juga boleh memikirkan pendekatan yang sesuai di peringkat daerah dan DUN,” katanya.
Majlis taklimat tersebut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Samat Gany, John Nyigor, Fridah Osman Adenan serta Abang Abdul Aziz Datuk Dr Abang Abdul Draup.
Kira-kira 400 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli- ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menghadiri program tersebut.
Antara penceramah lain yang turut memberi penerangan termasuk wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) , Sarawak Energy Berhad (SEB).
Yang lain adalah wakil Mutiara Mortgage dan Credit menerangkan bantuan kewangan pembelian perumahan, projek perumahan dan bantuan kewangan sewaan perumahan oleh wakil Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Pejabat Tanah dan Survei (JTS).
