Tanaman halia miliki potensi tinggi

BETONG: Tanaman halia berpotensi untuk dieksport ke luar negara hingga ke negara Eropah, Amerika Syarikat dan China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia amat sesuai untuk tujuan komersial dan eksport kerana memiliki banyak manfaat yang digunakan dalam produk kosmetik dan farmaseutikal.

Jelas beliau, setakat ini Malaysia hanya mampu mengeksport beberapa kontena sahaja yang mana masih tidak mencukupi memandangkan permintaan yang tinggi dari luar negara.

“Apa yang kita rundingkan sebentar tadi ialah untuk mengeksport 10 kontena tanaman halia sebulan ke luar negara yang mana setakat kini kita hanya mampu mengeluarkan satu ke dua kontena untuk tujuan tersebut.

“Mereka di luar negara sangat-sangat memerlukan tanaman halia sebagai bahan mentah dalam perusahaan produk kosmetik dan farmaseutikal seperti di negara Eropah, Amerika Syarikat dan China,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Enteri Lengkoi, di Betong hari ini.

Katanya, pengeksportan 10 kontena tanaman halia setiap bulan itu khusus kepada negara China yang dilihat menjadi cabaran kepada penduduk di kawasan ini memandangkan tanaman halia tersenarai sebagai salah satu produk di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Betong.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menyampaikan cek bernilai RM9 juta mewakili kementeriannya untuk memulakan PROSPEK yang dicadangkan bermula pada 2025 dengan tiga program iaitu ternakan ayam kampung, tanaman halia dan kraf tangan sulaman kebaya dabong.

Bersama beliau dalam sidang media itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Turut serta ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas serta tetamu kenamaan yang lain.