MIRI: Jambatan Titian Perpaduan terletak di Taman Bulatan Miri bukan sahaja menjadi tarikan baharu pelancong di bandar raya peraginan, malah sebagai simbol perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.
Mercu tanda ikonik itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Direka menggunakan buluh tradisional yang biasa dilihat di pedalaman Borneo, Titian Perpaduan kini menjadi struktur moden kekal melambangkan penyatuan masyarakat yang dahulunya terpisah oleh sungai dan sempadan wilayah.
Menurut Premier Sarawak, keunikannya juga terserlah melalui ukiran 71 bahasa dan dialek etnik Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu yang terpahat di sepanjang jambatan.
Majlis penuh bersejarah itu juga diserikan dengan penyampaian sijil rasmi penyerahan penjagaan Titian Perpaduan kepada Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, yang menandakan jambatan ini secara rasminya di bawah jagaan Majlis Bandaraya Miri.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, Pengasas Taste of Borneo Cultural Carnival 3.0 (2024) Dato Hii King Chiong, Pemangku Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Presiden Persatuan Cina Sarawak Ting Pang Soon, Pengerusi Pengelola Taste of Borneo Cultural Carnival 3.0 (2024) Harry Lee Tian Song.
