Perkhidmatan Awam Sarawak hantar delegasi ke Sri Lanka, Jepun

KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak akan menghantar delegasi ke Konvensyen Antarabangsa Mengenai Kawalan Kualiti (ICQCC) 2024 di Colombo, Sri Lanka mulai 11 hingga 14 November ini.

ICQCC 2024 ialah acara tahunan yang mengumpulkan pengamal inovasi dari seluruh dunia untuk bersaing dan berkongsi idea, pengalaman serta kepakaran dalam usaha meningkatkan produktiviti.

Delegasi terbabit disertai seramai 35 pegawai dan akan diketuai oleh Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said.

Di samping itu, empat Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang merupakan pemenang Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2023 akan mewakili Sarawak dalam ICQCC 2024.

Mereka ialah Kumpulan LANDS TAHAI Q, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Limbang;Kumpulan EAGLE, Majlis Perbandaran Sibu; Kumpulan IPOK, Pejabat Residen Mukah dan Kumpulan TECHSKAP, Lembaga Kemajuan Bintulu.

Sementara itu, delegasi lawatan penanda aras inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke Jepun disertai 19 pegawai
mulai 1 hingga 6 Disember ini.

Lawatan turut disertai kumpulan SIRIUS PRIME dari Majlis Bandaraya Miri telah membawa pulang Anugerah Emas Perdana pada ICQCC 2022 di Jakarta, Indonesia.

Juga turut serta ialah kumpulan SASSOKU TECH dan INNOTECH Q9 dari Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Kuching dan Bahagian Bintulu yang masing-masing memenangi Anugerah Emas pada ICQCC 2022.

Penyerahan bendera Sarawak kepada ketua delegasi yang akan ke Jepun dan Sri Lanka telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki hari ini.