UNIMAS lubuk ampuh bangunkan negara

KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi rakan strategik Kerajaan Sarawak dalam usaha membangunkan negeri ini selaras dengan dasar-dasar yang dirancang.

Beliau yang juga Cancelor UNIMAS berkata, dengan adanya program-program yang memenuhi keperluan industri masa kini dan memperkasakan keusahawanan, UNIMAS dapat memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan mencapai matlamat Sarawak Maju Makmur menjelang 2030.

“Dari ilmu sains, teknologi ke jurusan sejarah dan undang-undang, UNIMAS sudah semestinya menjadi lubuk ilmu yang ampuh kepada negara,” katanya pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke- 28 di Arena Gemilang, Detar Putra UNIMAS di sini hari ini.

Yang di-Pertua Negeri menegaskan, pendidikan fleksibel juga mampu memastikan graduan mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran kerja dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi diri, keluarga, komuniti setempat dan negara.

“Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan adalah asas pembentukan masyarakat yang maju dan berdaya saing. Ilmu juga berperanan sebagai nadi pembangunan masyarakat memberi impak positif kepada ekonomi, sosial dan budaya di Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, dunia hari ini terus berubah pesat dan perubahan kini dirasai dalam semua aspek kehidupan termasuk pendidikan.

“Pembelajaran sepanjang hayat tidak lagi sekadar falsafah pendidikan, tetapi perlu diterjemahkan sebagai amalan seharian setiap individu dalam menangani perubahan pesat dalam dunia pekerjaan,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, sebagai institusi pendidikan tinggi, UNIMAS harus menjadi medan untuk menanamkan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan pelajarnya.

“Pembelajaran dan jati diri sebenarnya saling berkaitan. Pembelajaran menjadi intipati kepada jati diri. Jati diri tidak akan wujud tanpa pembelajaran. Dalam hal ini, kita perlu memastikan keangkuhan tidak menyelinap masuk dalam jati diri kita sehingga menjadikan minda kita tertawan,” katanya.

Naib Cancelor UNIMAS, Pro Dr. Ahmad Hata Rasit antara yang hadir sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *