BALINGIAN: Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) menjadi elemen penting dalam meningkatkan kecekapan dan integriti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya berkata, kursus ini bertujuan memperkasa kemahiran KMKK sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Usaha ini memastikan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tercapai. Matlamat kami bukan hanya untuk menjadi negeri maju tetapi juga negeri yang tinggi tahap integritinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Kursus MIKM Tahap 1 Siri 13 Bil.1/2025 dan Tahap 2 Siri 2 Bil.1/2025 di Dewan Masyarakat Balingian hari ini.
Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut menekankan peranan penting KMKK dalam menggerakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memantau pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing.
Sebelum itu, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi dalam ucapan aluannya menyatakan kursus itu untuk KMKK di Sarawak sebagai inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya pemimpin komuniti di kawasan setempat dapat membudayakan amalan integriti sewaktu menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka. – UKAS
