STIU terima sijil MBEF

KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak menerima pengiktirafan Pencapai Amalan Baik di bawah pensijilan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF).

Sijil ini mencerminkan usaha STIU dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan awam, meningkatkan produktiviti dan daya saing Kerajaan Sarawak melalui inisiatif transformasi serta inovasi.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail menyampaikan sijil MBEF semasa sesi kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di pejabatnya, di sini, semalam.

Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pengiktirafan ini adalah pencapaian bermakna dalam usaha STIU, JPS melaksanakan amalan kecemerlangan organisasi.

“Perkhidmatan Awam Sarawak akan terus komited untuk memastikan transformasi dan inovasi menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif,” katanya.

Beliau menambah selain MBEF, kaedah Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS) dan SCS Scorecard mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan agensi-agensi ke arah penambahbaikan secara berterusan.

“Secara tidak langsung menjamin pencapaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama mencapai teras strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) iaitu Kemudahan Berniaga,” tambahnya.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Pengarah STIU, Superi Awang Said.