KUCHING: Laluan bas elektrik Kuching Metro ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh diselaraskan semula bagi memastikan pelancong tiba tepat pada waktunya untuk menyaksikan pemberian makanan Orang Utan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyesuaian tersebut berdasarkan maklum balas serta corak penggunaan pelancong.
Katanya, jadual perjalanan terdahulu menyebabkan sebahagian perkhidmatan bas kurang dimanfaatkan apabila pelancong tiba selepas pemberian makanan Orang Utan selesai.
“Tahun lalu, bas ini mempunyai laluan tersendiri dan masih digunakan, namun kita melakukan pelarasan masa perjalanan supaya sejajar dengan waktu pemberian makanan Orang Utan.
“Ini penting kerana tarikan utama pelancong ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh untuk menyaksikan sesi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri percubaan laluan baharu bas elektrik Kuching Metro, di sini, hari ini.
Abdul Karim turut memaklumkan bahawa ketika ini Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menyediakan empat
bas elektrik bagi menyokong perkhidmatan berkenaan.
Perkhidmatan bas elektrik tersebut turut menawarkan laluan percuma ke Kampung Budaya Sarawak.
