KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh agenda pemerkasaan wanita melalui inisiatif Laman Wanita (LaWa), sebuah platform pembangunan kemahiran yang giat diperluas ke seluruh negara.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri, berkata LaWa berfungsi sebagai pusat komuniti wanita yang menyediakan latihan literasi digital, kewangan dan teknologi.
Setakat ini, sebanyak 13 kemudahan LaWa diwujudkan di tujuh negeri.
“Mulai 2025, kita memperluas inisiatif ini melalui LaWa-on-the-Go untuk wanita di kawasan yang belum mempunyai fasiliti kekal.
“Sehingga September 2025, lebih 10,668 wanita menerima manfaat melalui 716 program LaWa,” katanya ketika merasmikan Penutupan Program ICT4HeR – Wanita & Teknologi di Pustaka Negeri Sarawak, petang semalam.
Beliau menambah, program Gig@BIT turut menawarkan peluang pembelajaran meliputi pemasaran digital, keselamatan siber serta modul Generative AI, bagi membekalkan wanita Malaysia dengan kemahiran masa hadapan.
Tahun lalu sahaja, katanya program tersebut memberi manfaat kepada 1,411 peserta secara fizikal dan diakses lebih 170,000 individu melalui platform digital.
Nancy menegaskan bahawa penguasaan digital kini menjadi keperluan penting dalam era moden, dan wanita yang berkemahiran tinggi mampu membawa perubahan signifikan kepada keluarga dan komuniti.
