LHDN perkasa e-Invois libatkan 10,000 syarikat Sarawak

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkukuhkan agenda pendigitalan sistem percukaian negara menerusi pelaksanaan e-Invois yang kini memasuki fasa empat, melibatkan kira-kira 10,000 syarikat di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pelaksanaan fasa terbaharu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi percukaian bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan serta pematuhan cukai dalam kalangan syarikat.

“Lebih kurang 10,000 syarikat di Sarawak yang berada dalam fasa itu akan mengambil bahagian dalam inisiatif e-Invois,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Di peringkat nasional, hampir 200,000 syarikat di seluruh Malaysia terlibat dalam pelaksanaan e-Invois, dengan jumlah penerimaan dokumen digital itu kini melepasi satu bilion.

Menurutnya, selain e-Invois, LHDN turut menggalakkan penyertaan syarikat dalam program ‘Tax Corporate Governance’ iaitu kerjasama strategik antara agensi tersebut dan sektor korporat bagi memastikan tadbir urus serta pelaporan cukai berada pada tahap terbaik.

Mengulas mengenai akses e-filing khususnya di luar bandar, beliau memaklumkan bahawa LHDN menyediakan bantuan melalui rangkaian pejabat dan pejabat satelit di seluruh Sarawak.

“Sekiranya terdapat kesulitan untuk membuat penghantaran, pejabat-pejabat di seluruh Sarawak sedia membantu, individu yang masih menghadapi masalah boleh hadir ke mana-mana pejabat atau pejabat satelit di seluruh negeri,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Dr Abu Tariq turut memperkenalkan barisan kepimpinan LHDN Sarawak kepada Abang Johari yang kini diketuai oleh Abang Ehsan Abang Abu Bakar selaku Pengarah HASiL Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Ahmad Khairudin Abdullah.