SIBU: Penduduk Sibu di bahagian ini akan menikmati bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi apabila projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim siap sepenuhnya, dengan kapasiti pengeluaran meningkat dua kali ganda kepada 300 juta liter air sehari (MLD).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bernilai RM300 juta itu kini mencapai kira-kira 40 peratus siap, bertujuan memenuhi permintaan air bersih yang semakin meningkat.
“Selain itu, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air baharu di Kanowit berkapasiti 25 MLD. Loji Rawatan Air Sadit pula yang menggunakan teknologi ‘acute system’ berkapasiti 4 MLD sudah beroperasi membekalkan air ke Sadit dan Bawang Assan.
“Manakala, loji lain dengan kapasiti sama akan dibina di Nibong Tada,” katanya pada Sambutan Hari Integriti Jabatan Air Luar Bandar (JBALB) di sini, hari ini.
Tambah Julaihi, kesemua pembinaan loji disokong oleh pembinaan paip agihan Projek Kanowit fasa kedua bernilai RM81 juta dan projek penggantian serta naik taraf paip fasa satu di Sibu bernilai RM59 juta.
Projek ini katanya, adalah sebahagian daripada peruntukan RM170 juta untuk Sibu di bawah program penggantian paip seluruh Sarawak bernilai RM1.1 bilion.
