KUCHING: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan inovatif bagi menjadi ekonomi moden berpendapatan tinggi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana ekonomi moden berdaya saing di peringkat global tidak hanya dibina atas sumber semula jadi atau infrastruktur, tetapi atas tenaga kerja mahir, inovatif dan mudah menyesuaikan diri.
Katanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah menegaskan keperluan bagi Sarawak melahirkan lebih ramai pekerja terbabit.
“Ini bagi memenuhi tuntutan industri berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Perasmian Sarawak Human Capital Briefing 2025 di sini, hari ini.
Selain itu, Roland Sagah turut menggesa lima sektor utama lain di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu pertanian, pembuatan, perhutanan, pelancongan dan perkhidmatan untuk menubuhkan majlis sektoral masing-masing.
“Bangunkan majlis sektoral masing-masing dan pimpinlah perancangan strategik tenaga kerja masa depan bagi industri anda,” tegasnya.
Pada kemuncak majlis, Roland Sagah menyaksikan Pertukaran Surat Kerjasama diadakan antara Sarawak Skills dan Sarawak Energy Berhad.
Turut ditandatangani Surat Hasrat antara Sarawak Skills dan Talent Corporation Malaysia Berhad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.
