Dasar pembangunan inklusif Sarawak berjaya

KOTA SAMARAHAN: Sarawak melangkah ke hadapan dengan sasaran menggandakan ekonomi negeri kepada RM282 bilion menjelang 2030 selaras dengan visi mewujudkan kemakmuran bersama dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sasaran itu turut disokong dengan usaha meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan kepada RM15,000 sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.

Beliau menjelaskan, kerajaan komited untuk memanfaatkan sumber semula jadi, memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan serta memperluas penggunaan teknologi moden bagi membangunkan industri bernilai tinggi.

“Langkah ini penting bagi memastikan kemajuan ekonomi dapat dinikmati secara inklusif dan tiada rakyat Sarawak tertinggal dalam arus pembangunan menjelang 2030,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS sidang kelima hari ini.

Menurutnya, pendapatan negeri meningkat hampir dua kali ganda daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion (2024) menunjukkan pengurusan ekonomi yang cekap dan berdisiplin.

Dalam tempoh sama, kadar pengangguran turut menurun kepada 3.4 peratus manakala pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi sejak 2023 membuktikan kejayaan dasar pembangunan inklusif kerajaan negeri.

Majlis konvokesyen yang disempurnakan Uggah rex selaku Pro Canselor UNIMAS itu menyaksikan seramai 637 graduan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan menerima sijil masing-masing.