Masjid, surau Tanjong Datu terima sumbangan Ramadan

LUNDU: Sebanyak 16 masjid, 26 surau dan penempatan lain sekitar kawasan Tanjong Datu menerima sumbangan di Masjid Pehin Sri Haji Adenan, di sini, semalam.

Sumbangan itu bagi melancarkan aktiviti ibadah masjid dan surau terbabit sepanjang Ramadan ini.

Pada masa sama, seramai 30 orang asnaf terpilih turut menerima sumbangan untuk membantu meringankan beban mereka di bulan Ramadan ini.

Program tradisi tahunan ini merupakan anjuran Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu dengan kerjasama erat daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL).

Selain itu, sumbangan peribadi turut disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan serta ibunya, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu melalui Yayasan Jaznan.