KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keabsahan dan tafsiran tiga undang-undang Persekutuan berkaitan sumber asli negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan perundangan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan jelas mengenai kedudukan Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
“Perkara tersebut diadakan di mahkamah. Tujuan pengadilan adalah untuk mencari penjelasan daripada mahkamah mengenai status tiga undang-undang kerajaan.
“Perkara ini sedang dalam proses mahkamah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS Sarawak 2026 di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, petisyen yang difailkan menyentuh soal sumber asli serta bidang kuasa sempadan negeri, justeru pendekatan perundangan dipilih bagi memastikan tafsiran yang diperoleh adalah sah dan muktamad demi kepentingan Sarawak.
Mengulas Mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual pada 2 Mac ini, beliau berkata rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan diteruskan secara berfokus bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak.
Antara perkara yang akan diberi perhatian termasuk isu kesihatan, pendidikan serta pendaftaran khas di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim turut menegaskan pendirian kerajaan negeri berhubung tanah yang telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun agar dikembalikan kepada Sarawak.
“Kita meminta mana-mana tanah yang telah diserah kepada Kerajaan Pusat, tidak dibangunkan dalam masa lima tahun, dikembalikan.
“Antaranya ada yang sudah kita berjaya (peroleh kembali) dan ini adalah tambahan yang belum lagi diperhaluskan,” katanya lagi.
