KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat menerusi Majlis Iftar LCDA Darul Hana 2026 yang berlangsung di sini malam tadi.
Majlis diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun LCDA ke-45 bertemakan “45 Tahun LCDA Bersama Komuniti” disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut LCDA, penganjuran majlis ini bukan sekadar tradisi tahunan, malah merupakan platform untuk menghargai sinergi antara agensi kerajaan, ketua masyarakat dan pihak media yang telah menyokong perjalanan agensi tersebut selama empat dekad.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini menjadi bukti nyata bahawa dalam mengejar arus pemodenan menerusi Projek Pembangunan Darul Hana, kebajikan golongan memerlukan tetap menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan Kerajaan Sarawak.
Kemuncak majlis menyaksikan Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Mahdi menyerahkan sumbangan Zakat Perniagaan 2025 berjumlah RM1,782,437.05 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datu Abang Mohd. Shibli Abang Mohd Nailie.
Selain penyerahan zakat, Premier Sarawak turut menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM25,000 kepada 125 penerima daripada 13 kampung di bawah Projek Pembangunan Darul Hana.
Setiap penduduk menerima RM200 sebagai inisiatif membantu persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis yang dihadiri kira-kira 700 tetamu itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pengerusi LCDA Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Dato Husain.
