Persiapan rapi lancarkan penganjuran BIHAS 2026

KUCHING: Mesyuarat khas Jawatankuasa Pengelola Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 bagi membincangkan perkembangan terkini serta hala tuju pelaksanaan program tersebut.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, hari ini.

Mesyuarat ini memberi ruang kepada ahli jawatankuasa untuk membentangkan perincian pengisian program serta mendapatkan pandangan dan nasihat beliau selaku pengerusi.

Dalam mesyuarat tersebut, pelbagai aspek utama dibincangkan termasuk konsep penganjuran serta strategi promosi bagi memastikan BIHAS 2026 mencapai sasaran yang ditetapkan.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan antara agensi serta kesiapsiagaan logistik bagi menjamin kelancaran pelaksanaan.

Awang Tengah turur mengingatkan bahawa BIHAS 2026 perlu menjadi platform yang bukan sahaja mempamerkan produk dan perkhidmatan halal, malah menjadi medan strategik untuk menarik pelaburan, memperluas rangkaian pasaran dan memperkukuh daya saing usahawan tempatan.

Dengan misi memastikan BIHAS 2026 dilaksanakan dengan perancangan rapi dan visi yang jelas, acara tersebut diyakini mampu menjadi platform unggul dalam memperkukuh kedudukan Sarawak dalam landskap industri halal global.