Masjid, surau terima dana tahunan laksana aktiviti Ramadan

KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni menyerahkan cek sumbangan dana tahunan berjumlah RM521,000 kepada masing-masing 16 masjid dan surau di Zon Jalan Bako dan Zon Tabuan di sini, semalam.

Setiap masjid menerima RM18,000, manakala setiap surau menerima RM13,000 dan cek sumbangan itu diserahkan kepada pengerusi masjid dan surau berkenaan.

Acara penyerahan cek sumbangan ini diadakan secara berasingan iaitu di Masjid Darul Hajat Kampung Tabuan Hilir atau Selipar Putus untuk penerima dari Zon Tabuan, semantara masjid dan surau dari Zon Jalan Bako menerima cek sumbangan berkenaan di pejabat Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Petra Jaya.

Untuk tahun ini, setiap masjid dan surau juga menerima dana tambahan sebanyak RM3,000 bagi persediaan jawatankuasa masjid dan surau terbabit mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

“Saya berharap agar dana tahunan yang diberikan dapat membantu dalam pengurusan masjid dan surau, serta memperkasa aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk kampung.

“Selain itu, dana tambahan yang disediakan diharap dapat menampung pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan.

“Semoga sumbangan ini memberi manfaat serta keberkatan kepada kita semua, terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan Al-Mubara” katanya semalam. Turut hadir ialah Penghulu Kawasan Tabuan, Amzah Dollah.