KUCHING: Badan bukan kerajaan (NGO) perlu aktif melaksanakan program-program pemerkasaan untuk membangunkan bakat dan kemahiran golongan wanita.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, program tersebut bukan sahaja platform untuk membangunkan wanita, malah dapat digunakan untuk mengetengahkan dasar-dasar kerajaan.
Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi supaya inisiaitif dilaksanakan kerajaan sampai kepada golongan wanita.
“Pertama, untuk memperkasakan wanita manakala kedua supaya wanita tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka terutama yang tinggal di luar bandar.
“Kita adakan pelbagai program, maka dapat kita ketengahkan pelbagai isu dan dasar-dasar kerajaan yang kita sampaikan melalui program dilaksanakan NGO,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Agihan Bubur Lemak Sarawak anjuran bersama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) di Bangunan KOPERWANIS di sini hari ini.
Tambah beliau, NGO perlu memastikan kepimpinan organisasi sentiasa yang terbaik dan proaktif bagi dapat terus menyumbang kepada pembangunan wanita.
Sebanyak 700 bubur lemak Sarawak dan tambahan bubur pedas telah diagihkan kepada ahli-ahli PPWS dan komuniti surau dan masjid.
