KUCHING: Ekspo dan Sidang Puncak Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Julai, 2025 di sini yang bertemakan ‘From Sarawak to the World: Journey to Clean Energy Leadership’ akan mengetengahkan komitmen Sarawak dalam memacu peralihan kepada tenaga bersih global.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan ekspo dan sidang puncak itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Ekspo itu akan mempamerkan teknologi terkini dalam tenaga diperbaharui termasuk tenaga hidrogren, tenaga solar dan perangkap karbon, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, IEW 2025 bertujuan meletakkan Sarawak sebagai peneraju global dalam kelestarian tenaga sambil meningkatkan inovasi dan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, katanya, IEW 2025 akan menjadi platform untuk menggalakkan inisiatif tenaga diperbaharui dan menarik peluang pelaburan.
Sidang puncak IEW 2025 itu, tambahnya, dijangka dihadiri oleh lebih 6,500 peserta daripada 25 negara dan 400 syarikat.
Acara itu dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) dan disokong oleh Business Events Sarawak (BESarawak). Untuk mendapat keterangan lanjut sila layari www.iew.my atau Urusetia IEW.
