MA63: 26 tuntutan dibincang

KUALA LUMPUR: Setakat ini, 26 tuntutan oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah dibincang di bawah platform perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, lapan daripada 26 tuntutan itu telah selesai sepenuhnya, dua selesai sebahagian, tiga telah mempunyai keputusan dasar, lapan dalam perbincangan dan lima tuntutan yang dirujuk untuk perbincangan atau keputusan peringkat tertinggi.

Obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai lll, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah antara tuntutan dalam perbincangan, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.

Fadillah yang juga Pengerusi MTPMA 63 berkata, perkara lain ialah pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Borneosasi perkhidmatan awam persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Beliau menegaskan, antara lima tuntutan yang dirujuk untuk perbincangan atau keputusan peringkat tertinggi ialah duti setem dikenakan ke atas instrumen pemindahan, caj menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68) dan Kanun Tanah Sarawak (Bab 81).

Empat lagi, katanya, ialah royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan Hak negeri ke atas pelantar benua.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, kerajaan terdahulu meluluskan tiga tuntutan iaitu penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada kerajaan negeri Sarawak, pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dan pemberian kuasa mengenai pelesenan dan pengangkutan ikan laut dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Ahmad Johnie dalam soalan lisannya bertanya sejauh manakah status Perjanjian Malaysia (MA63) bagi wlayah Sarawak telah dilaksanakan.