Australia-Sarawak jalin kerjasama sektor penyimpanan tenaga

KUCHING: Australia menandatangani perjanjian kerjasama dengan Sarawak dalam sektor penyimpanan tenaga bagi membantu memenuhi keperluan tenaga negeri ini pada masa hadapan.

Perkara itu dijelaskan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.

“Kami menandatangani perjanjian bekerjasama dalam penyimpanan tenaga bagi membantu Sarawak melihat keperluan tenaganya pada masa depan serta pelbagai pilihan yang ada untuk menggunakan penyimpanan tenaga dalam memenuhi perancangan,” jelasnya.

Menurut Danielle, Australia turut berminat untuk menarik lebih ramai pelabur ke Sarawak, termasuk pelabur dari negaranya sendiri.

Dedahnya, terdapat beberapa pelabur Australia yang sedang mempertimbangkan Sarawak sebagai pilihan, khususnya dalam sektor tenaga dan perlombongan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia Duta Fenny Nuli serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.