KUCHING: Pengamal media menjadi tulang belakang dalam memastikan setiap laporan sukan yang dipertandingkan sepanjang temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 2024 sampai kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, laporan berita khususnya penyiaran amat mustahak agar kemeriahan Para SUKMA ini bukan sahaja dirasai warga di Kuching, malah di seluruh negara.
Dalam hal ini, beliau kagum dengan persiapan Sarawak selaku tuan rumah dari aspek perkhidmatan penyiaran yang telah siap siaga untuk bertugas sepanjang penganjuran temasya dwitahunan itu nanti yang bermula Ahad ini.
“Bagi kami dalam jawatankuasa induk untuk Para SUKMA dan juga SUKMA yang telah berlalu, ini merupakan jawatankuasa yang sangat penting dalam memastikan apa yang berlaku, sama ada di tempat pertandingan, penginapan atau di mana-mana tempat boleh diketahui dan dikongsikan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat penyiaran Para SUKMA di Stadium Sarawak dan merasmikan Pusat Media Utama (PMU) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, semalam.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menyaran warga media turut menyiarkan laporan berkisarkan kepentingan manusia terutama perjalanan atlet Para SUKMA.
Jelas beliau, pengolahan berita seumpama ini dapat melihat pengorbanan para atlet dan ahli keluarga mereka yang telah berkorban dari segi masa dan tenaga malah wang ringgit sebelum bergelar seorang atlet yang mewakili negeri masing-masing.
Seperti temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 yang lalu, Para SUKMA kali ini turut menawarkan pertandingan kepada warga media di mana terdapat tiga kategori utama yang akan dipertandingkan iaitu kategori fotografi terbuka, kategori fotografi belia yang berumur 25 tahun ke bawah dan kategori videografi.
Bagi kategori fotografi terbuka, hadiah yang ditawarkan adalah sebanyak RM3,000 bagi tempat pertama dan RM2,000 dan RM1,000 bagi tempat kedua dan ketiga manakala lima pemenang saguhati akan menerima RM200 setiap seorang.
Bagi kategori fotografi belia dan kategori videografi masing-masing menawarkan hadiah sebanyak RM2,000 bagi johan, RM1,000 bagi naib johan dan RM750 bagi tempat ketiga di samping hadiah wang tunai RM100 kepada lima pemenang saguhati.
