Kukuhkan perpaduan, eratkan kerjasama demi kemajuan negeri

SIBU: Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tunku Mohamad mengajak masyarakat pelbagai kaum khususnya golongan Melayu supaya terus mengekalkan perpaduan yang sedia ada.

Katannya, untuk membangunkan sesebuah wilayah ia tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi dan pembangunan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perpaduan kaum atau ummah juga penting.

Selain itu katanya, pembangunan modal insan atau pendidikan juga penting, kerana dengan masyarakat berilmu dan mahir dalam pelbagai bidang boleh mengisi keperluan untuk membangunkan negara khususnya Sarawak.

“Oleh itu saya ingin mengingatkan anda semua supaya perkukuhkan perpaduan, eratkan kerjasama dan penting kekalkan kerajaan yang sedia ada.
“Ini penting supaya perancangan pembangunan kerajaan dalam memajukan Sarawak terus terlaksana,” katanya.

Wan Hamid Edruce berkata demikian semasa berucap meraikan rombongan seramai 29 orang komuniti dari Kampung Beradek, Kuching di kediamannya di Sibu, baru-baru ini.

Rombongan komuniti yang diketuai Penghulu Bolhassan Ibrahim mengadakan lawatan sambil belajar di Sibu dan Mukah pada 6 hingga 10 September lalu.

Sementara itu, Setiausaha Program Lawatan, Kaunselor Othman Ibrahim dalam ucapan balas bagi pihak rombongan merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce kerana l meraikan rombongan itu di kediaman beliau.

Othman berkata, nasihat yang disampaikan Temenggong dalam ucapanya sebelum itu akan terpahat dalam ingatan dan akan menjadi pedoman seumur hidup.

Malah katanya, beliau serta rakan-rakannya dalam rombongan itu akan sedia memanjangkan nasihat ketua masyarakat itu kepada penduduk di Kampung Beradek.

Menurut Othman, program lawatan itu bertujuan mendedahkan beberapa pemimpin akar umbi yang baharu terhadap projek pembangunan, budaya masyarakat setempat dan proses memimpin sesebuah organisasi.

Beliau memberitahu Kampung Beradek atau kawasan Tanjung Embang kian membangunkan dengan penduduknya yang kini menikmati pelbagai kemudahan infrastruktur seperti bekalan air dan bekalan elektrik sepenuhnya.

Manakala, dengan pembangunan tanah yang telah dimajukan oleh kerajaan rata-rata penduduk di Kampung kini mampu berdikari dengan mengusahakan pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit.

Semasa berada di Sibu, rombongan itu telah mengadakan lawatan di tempat menarik antaranya, Masjid An-Nur, Masjid Al-Qadim, Rumah Panjang Micheal Ancho di Bawang Assan dan di Kampung Teku serta pasar basah terbesar di Sibu.

Rombongan ini juga diraikan oleh Pengerusi Perkim Sibu Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz dengan sarapan pagi di Rumah Perkim.

Manakala, ketika di Mukah juga rombongan ini bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin dan ahli jawatankuasa JKK di Kampung Judan Hilir, Kampung Judan Ulu, Kampung Tellian Tengah, Kampung Tutus Hilir dan tapak Pesta Kaul.