KOTA SAMARAHAN: Taman Tasik Desa Ilmu di sini bakal berubah wajah apabila dinaik taraf dengan konsep perahu tambang, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di kawasan ini.
Reka bentuk berkonsepkan warisan budaya itu sebahagian daripada Program Infrastruktur Sosial dan Reka Bentuk Alam Sekitar (IRSDA), bertujuan memenuhi keperluan rekreasi penduduk serta menyerlahkan identiti komuniti.
Menteri Pelancongan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata projek bernilai RM6.8 juta itu dijangka siap pada 17 November ini.
“Kota Samarahan kini pesat membangun dengan kewujudan pelbagai institusi pengajian dan taman perumahan baharu. Jadi, kami kenal pasti tasik ini sebagai lokasi strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan riadah penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pra-pelancaran projek berkenaan, hari ini.
Menurutnya, tasik itu menjadi tumpuan penduduk untuk beriadah, terutama pada waktu petang.
“Apabila taman ini siap, ia bukan sahaja menyediakan kemudahan rekreasi tetapi turut menjadi platform mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti,” ujarnya.
Tambah Abdul Karim, inisiatif ini juga seiring dengan visi menjadikan Kota Samarahan sebagai bandar satelit yang ceria dan memenuhi aspirasi penduduk untuk memiliki ruang rekreasi berhampiran kediaman.
Antara kemudahan yang bakal disediakan termasuk tempat letak kereta, tandas awam, laluan refleksologi, trek jogging dan kawasan aktiviti luncur.
