KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar meningkatkan keupayaan dalam menangani jenayah siber dan gejala sosial yang kian meningkat termasuk di Sarawak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, jenayah kini tidak hanya berlaku secara fizikal tetapi semakin banyak beralih ke platform digital seperti perjudian haram, pengedaran dadah dan penyebaran kebencian di media sosial.
Tegasnya, penyebaran kebencian di media sosial boleh meretakkan hubungan antara kaum dan agama jika tidak ditangani dengan pantas dan berkesan.
“Ini cabaran besar kita. Jenayah kini bergerak secara dalam talian, dan Sarawak juga tidak terkecuali daripada ancaman ini, termasuk peningkatan aktiviti pengedaran dadah di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Isyak, Solat Isya’ dan Terawih Berjemaah bersama warga PDRM di Masjid Al Mujahiddin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya malam tadi.
Fadillah turut menegaskan pentingnya kerjasama erat antara masyarakat dan PDRM untuk membendung jenayah serta memperkukuh keharmonian masyarakat yang selama ini menjadi tunjang kestabilan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan akan mempertimbangkan permohonan menaik taraf kemudahan Masjid Al Mujahiddin dan Kompleks Dewan Serbaguna Tabuan Jaya untuk keselesaan komuniti setempat.
