Majlis Sejambak Kasih serlah dasar inklusiviti Kerajaan Sarawak

DALAT: Penganjuran Majlis Sejambak Kasih membabitkan perayaan besar di Sarawak memperlihatkan dasar inklusiviti kerajaan negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program yang dilaksanakan lebih 25 tahun ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan masyarakat yang memerlukan terus dijaga, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Majlis Sejambak Kasih bukan hanya diadakan untuk Aidilfitri, malah turut meraikan perayaan utama lain seperti Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak, Krismas dan Deepavali.

“Walaupun bagi Deepavali, program ini hanya dilaksanakan di bahagian Kuching,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2025 di Kompleks Kebajikan Dalat (KKD) semalam.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menambah, program tahunan ini selari dengan misi kerajaan negeri untuk memupuk kesejahteraan komuniti dan meringankan beban rakyat.

Seramai 150 penerima dari kalangan golongan yang memerlukan menerima sumbangan berupa wang tunai RM100 dan hamper.

Selain itu, mereka juga menerima sumbangan beras daripada Dalat Food Convenience Store, kain pasang daripada Syarikat Jasmin Jawahar Sdn Bhd, serta katil ‘Homecare Bed’ daripada Yayasan Cinta Amal.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Nurfathira Abdul Rashid, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert dan Temenggong Bahagian Mukah Hendi Suhai.