Agensi kerajaan perlu proaktif salurkan bantuan, perkhidmatan kepada rakyat

SARIKEI: Agensi kerajaan perlu berganding bahu dalam menyalurkan pelbagai bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat sejajar dengan matlamat penubuhan jabatan masing-masing.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, ketua masyarakat juga memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam menghebahkan inisiatif kerajaan.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat. Oleh itu, penting bagi semua agensi bekerjasama menyalurkan bantuan melalui jabatan yang mempunyai fungsi pelbagai sesuai dengan peranan mereka.

“Ketua-ketua masyarakat juga harus aktif menjadi jambatan antara penduduk dengan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei di Dewan Komuniti Masjid Al-Muttaqim di sini hari ini.

Seramai 100 penerima daripada 376 penerima bantuan bulanan kebajikan beragama Islam menerima sumbangan wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80 setiap seorang.

Bagi Bahagian Sarikei, sebanyak RM12,730,350 dibelanjakan sepanjang 2024 merangkumi 2,699 kes bagi lapan skim bantuan kebajikan.

Sehingga Mac 2025, jumlah keseluruhan bantuan yang telah disalurkan bagi tahun ini mencecah RM3,710,000 melibatkan 2,779 kes.