KUALA LUMPUR: Yayasan Sarawak bersama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 50 penerima menerusi Majlis Sentuhan Kasih Juma’ani, di sini malam ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 46 penerima merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), seorang anak yatim dan tiga pesakit dari fasiliti kesihatan sekitar Lembah Klang, kesemuanya merupakan warga Sarawak.
Sumbangan berupa duit raya serta biskut itu disampaikan Penasihat MAKSAK Wanita Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tunku Bujang, ditemani Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang.
Turut serta ialah Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mersal Abang Rosli dan isteri Datin Noraini Adenan, Pengerusi Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak Datin Daisy Dayus, Timbalan Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Datin Sri Haizan Ibrahim, Ketua Biro Pendidikan MAKSAK Wanita Sarawak Datin Fauziah Mardiana Sepawi termasuk Setiausaha Kehormat EXCO Maksak Wanita Sarawak Norhayati Mornie.
Kesemua kategori penerima bantuan berkenaan dirujuk daripada Persatuan Transformasi Dayak (TRADA), Persatuan Pasar Borneo Di Semenanjung, Pejabat Kementerian Wanita, Pembangunan dan Masyarakat, Yayasan Serian, Hikmah Wilayah Persekutuan, Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Terdahulu, Datu Mersal semasa berucap berkata, majlis seumpamanya adalah manifestasi keprihatinan Yayasan Sarawak dan MAKSAK Wanita Sarawak terhadap kebajikan anak Bumi Kenyalang, dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia dilaksana menerusi dana MAKSAK Cares di bawah kelolaan MAKSAK Wanita Sarawak bagi membantu golongan yang memerlukan termasuk penjawat awam Sarawak.
“Kami berharap agar sumbangan meringankan beban dan memberikan keceriaan, terutamanya pesakit dan komuniti OKU, serta kakitangan sokongan di pejabat perhubungan dan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur,” katanya. -EDISI UKAS
