Sarawak perlukan tambah doktor, katil hospital

SAMARAHAN: Sarawak memerlukan seramai 2,000 lagi doktor untuk ditempatkan di hospital dan kemudahan perubatan lain.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ini kerana kira-kira 50 peratus kemudahan perubatan di negeri ini masih tiada doktor.

“Kita perlu cukupkan 54 peratus doktor, hampir 2,000 doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sarawak ke-14 di Pusat Jantung Sarawak, di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, berikutan kekurangan doktor, kakitangan Pembantu Pegawai Perubatan (PPP) ketika ini memainkan peranan penting di Sarawak.

Beliau juga berkata, Sarawak memerlukan sebanyak 2,000 lagi katil hospital kerana ketika ini jumlah katil sedia ada hanya 45 peratus di bawah purata kebangsaan.