Pembinaan Jalan Utama Kedua Ulu Paku ke Ulu Kota, 20.9 peratus siap

SPAOH: Projek pembinaan Jalan Utama Kedua Ulu Paku ke Ulu Kota yang bernilai RM247.4 juta kini mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 5.27 peratus.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pada ketika ini jalan sepanjang 33 kilometer (km) tersebut telah 20.9 peratus siap.

“Iaitu sebanyak 5.27 peratus mendahului daripada jadual asal sebanyak 15.73 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diiringi Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu melakukan tinjauan tapak projek pembinaan Jalan Utama Kedua Ulu Paku-Ulu Kota di Penom di sini.

Mengenai Dewan Baharu Spaoh yang akan bermula pembinaan tahun depan, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata sudah tiba masanya dewan serba lengkap, lebih besar dan selesa dibina untuk masyarakat di Spaoh.

“Kita di Spaoh buat masa ini hanya memiliki sebuah dewan yang hanya mampu memuatkan sebanyak seratus meja pada satu-satu masa,” tambahnya.