Permohonan komputer riba percuma, bantuan baucar buku bermula 23 Mac ini

KUALA LUMPUR: Semua pelajar Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta boleh membuat permohonan bagi mendapatkan komputer riba percuma serta bantuan baucar buku melalui laman web Yayasan Sarawak, yang akan dibuka bermula 23 Mac hingga 30 April ini.

Berita gembira itu diumumkan semasa Majlis Sungkei Anak Sarawak 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam tadi.

Pemberian komputer riba percuma dan baucar buku itu antara inisiatif Kerajaan Sarawak dalam Belanjawan Sarawak 2025 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada tahun lalu.

Sementara itu, seramai 475 pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan Sarawak dalam majlis tersebut.

Daripada jumlah tersebut, seramai 392 penerima merupakan penuntut IPT, 36 orang di bawah Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak, tujuh dalam kalangan anak-anak kakitangan Yayasan Sarawak termasuk 40 orang anak-anak kakitangan Rumah Sarawak Kuala Lumpur.

Sumbangan berupa duit raya dan makanan itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, sambil ditemani Abang Johari dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Turut serta ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Fadillah Yusof, Yang Di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Majlis anjuran Yayasan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur dan Sarawak Volunteers itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 2,000 jemputan, terdiri daripada warga Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia dan rakan-rakan strategik kerajaan.

Hadir sama, Menteri-menteri Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mersal Abang Rosli serta dif-dif kenamaan yang lain.