KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri Majlis Sungkei Anak Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),di sini, malam tadi.
Beliau bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri majlis itu yang dianjurkan Yayasan Sarawak Pejabat Kuala Lumpur.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof serta isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Awang Mohammad Safuan Awang Safari, diikuti majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Ustaz Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
TYT dan isteri, bersama Premier Sarawak kemudian menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada seramai 50 pelajar anak Sarawak secara simbolik.
Secara keseluruhannya, 475 anak Sarawak menerima sumbangan ini, terdiri daripada pelajar Kolej Genius @ Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pelajar dari institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia, pelajar tajaan Yayasan Sarawak di bawah Program Pertukaran Pelajar, serta anak-anak kakitangan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur dan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur.
Majlis kemudian diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat sunat Tarawih.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri, Dato Fatimah Mohd Iskandar; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang; Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mersal Abang Rosli serta isteri, Datin Noraini Adenan.
