KUCHING: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) menyantuni seramai 22 golongan asnaf dengan menghulurkan sumbangan duit Raya, di sini, semalam.
Sumbangan disampaikan Yang di-Pertua PKMS Dr Wan Ali Tuanku Madhi dalam majlis ringkas yang berlangsung di Dewan PKMS, Jalan Haji Taha di sini.
Majlis itu dianjurkan oleh Biro Wanita PKMS Pusat yang dipengerusikan oleh Kadariah Maleng.
Dalam ucapan ringkasnya dalam majlis itu, Dr Wan Ali memuji jawatankuasa Biro Wanita PKMS kerana berjaya menganjurkan acara yang murni itu.
“Acara yang diadakan bukan sekadar memberi sumbangan tetapi dianggap sebagai ibadah dengan berbahagikan sedikit rezeki yang ada kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Dr Wan Ali berkata, kegiatan yang dianjurkan oleh Biro Wanita ini adalah sejajar dengan misi utama PKMS untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Melayu dan masyarakat Islam di negeri ini.
