Infrastruktur elektrik bahagian Samarahan dinaik taraf

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk naik taraf infrastruktur elektrik di bahagian Samarahan, mula dilaksana tahun ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata naik taraf itu merangkumi daerah Asajaya, Sadong Jaya,Sebuyau, Simunjan, dan Gedong.

“Ini akan dilaksana oleh agensi pelaksana Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) iaitu Sarawak Energy (SEB) bersama anak syarikat SEB Sesco,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis ziarah ramadan dan penyampaian sumbangan@CSR anjuran SEB dengan kerjasama MUT dan Pejabat Daerah Sebuyau di Masjid Darul Hidayah Kampung Seruyuk, di sini, semalam.

Julaihi berkata, selain itu Kerajaan Sarawak juga meluluskan peruntukan berjumlah RM 425 juta untuk menaik taraf infrastruktur elektrik di Lundu, Bahagian Betong, Lubok Antu, Sungai Asap dan Lawas.

Beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada seramai 100 asnaf dari Kampung Seruyuk, Segali dan Sungai Ladong serta sumbangan kewangan kepada 50 pelajar.