BUDAPEST: Delegasi Sarawak yang menyertai Program Pertukaran Kolaboratif Bandar Raya melawat Perkampungan Nelayan, salah satu daripada mercutanda warisan paling ikonik di Budapest.
Lawatan itu bertujuan menimba pengetahuan pemeliharaan warisan, pengurusan bandar dan pembangunan pelancongan yang mampan.
Lawatan diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja sambil belajar ke Hungary dan Austria dengan tujuan menerokai amalan terbaik dalam perancangan bandar dan pengurusan warisan.
Dianjurkan oleh Pejabat Datu Bandar Daerah 1 (Budavar), delegasi dari Sarawak disambut dan diberi taklimat oleh Timbalan Datu Bandar Daerah 1 (Budvar), Fodor Artur bersama Pegawai di pejabat Datu Bandar, Dominic Liszkai dan Levente Kalmar
Taklimat berkisar kepada kerangka kerja pemeliharaan wairsan daerah berkenaan, inisiatif pelancongan dan amalan pengurusan bandar di daerah bersejarah Buda Castle.
Delegasi Sarawak turut dibawa melawat mercu tanda warisan yang menyumbang kepada populariti Budapest, pelancongan budaya dan pengelaman itu menunjukkan pemeliharaan aset warisan disokong oleh ruang awam bermutu dan persekitaran mesra pejalan kaki.
Hasil daripada lawatan kerja berkenaan didapati relevan kepada inisiatif perancangan bandar termasuk Pelan Tempatan Limbang dan Lawas 2035.
Ia mengambil kira kekayaan warisan wilayah, aset bersejarah dan semula jadi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan pembangunan pelancongan.
Pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik itu dijangka dapat menyokong usaha memperkukuh pemeliharaan warisan dan mewujud tempat yang menarik bagi mencerminkan keunikan identiti wilayah Sarawak lebih luas.
