KUCHING: Timbalan Menteri Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol mengetuai delegasi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, semalam.
Dalam kunjungan tersebut, beliau telah memberi taklimat mengenai penganjuran SMeC 2026 yang dijadual berlangsung pada 16 Julai 2026 di Hotel Pullman, Kuching.
Persidangan edisi ketiga itu mengangkat tema “Media, Trust and Governance in a Rapidly Evolving Digital World” dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat.
SMeC 2026 bakal menampilkan pendekatan yang lebih interaktif menerusi pelbagai pengisian termasuk bengkel, forum perbincangan panel dan sesi perkongsian ilmu yang melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi, pengamal media serta profesional komunikasi.
Melalui pendekatan tersebut, SMeC 2026 diharap dapat mencetuskan inovasi, meningkatkan kompetensi profesional dan memperkukuh kecemerlangan ekosistem media serta komunikasi di Sarawak, sekali gus memperluaskan impaknya ke peringkat serantau.
Selain itu edisi kali ketiga ini turut menampilkan tiga panelis berpengalaman dari pelbagai latar belakang media, komunikasi, akademik dan industri bagi membincangkan isu berkaitan media, kepercayaan awam dan tadbir urus dalam dunia digital yang berkembang pesat.
Dalam kunjungan hormat sama, Abdullah mengemaskini persiapan Jawatankuasa Pelaksana Townhall sempena Sambutan Perayaan Hari Sarawak Tahun 2026, yang mana beliau selaku Timbalan Menteri Bertanggungjawab bagi townhall berkenaan.
Turut hadir, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta pegawai-pegawai kanan UKAS.
