KUCHING: Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi akan bertanding buat kali kedua bagi mengekalkan jawatan itu pada Perhimpunan Agung Ke -16 Parti PBB.
“Ini adalah pertandingan yang kedua. Yang pertama pada Februari 2018. Tiada pertandingan pada Jun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pencalonan beliau bagi jawatan tersebut pada perhimpunan agung nanti yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Februari.
Dr Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, pemilihan jawatan dalam Parti PBB seperti Naib Yang di-Pertua dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) adalah proses biasa yang dilakukan menjelang setiap Perhimpunan Agung Parti PBB.
Katanya, pemilihan dijalankan secara demokratik dan penuh dengan suasana kekeluargaan dan mereka sebagai ahli yang setia kepada Parti PBB sentiasa berusaha untuk memperkasakan dan memertabatkan parti itu.
“Saya bersama rakan-rakan akan mempertingkatkan daya usaha bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Parti PBB,” tambahnya.
