Pendidikan: Sarawak mahu autonomi penuh

KUCHING: Perkembangan mutakhir yang sedang berlaku dan yang akan datang di negeri ini memerlukan penglibatan aktif semua pihak, terutamanya UNIMAS, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berucap pada Majlis Konvokensyen UNIMAS kali ke-27 di sini, beliau yang juga Pro-Cancelor UNIMAS berkata, universiti itu memiliki kepakaran dalam bidang yang sangat relevan untuk pembangunan Sarawak.

“Saya yakin UNIMAS memiliki potensi untuk menjadi pemangkin utama dalam memajukan ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Bumi Kenyalang,” katanya.

Abang Johari menegaskan, sebagai sebuah universiti yang telah bertapak selama tiga dekad di Sarawak, UNIMAS telah melengkapkan para graduan dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk era masa kini.

Salah satu pemboleh ubah penting dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, katanya, adalah pendidikan dan pembangunan modal insan.

Justeru, bagi menjayakan sasaran, tambah beliau, kerajaan negeri merancang untuk menawarkan pendidikan percuma melalui biasiswa kerajaan negeri di peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak menjelang 2026.

“Tidak hanya di peringkat universiti dan pengajian tinggi, fokus pembangunan modal insan kelas pertama turut dimulakan di peringkat awal persekolahan.

“Dalam hal ini, Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk mendapatkan autonomi penuh dalam bidang pendidikan,” tegas beliau.

Menurut Premier Sarawak lagi, dasar pendidikan yang stabil serta kemudahan yang baik dapat meningkatkan prestasi pendidikan anak-anak di negeri ini.

Dengan autonomi penuh dalam bidang pendidikan, Sarawak akan dapat menyelaraskan pendidikan dengan keperluan setempat, merancang program inovatif, dan memberikan peluang yang lebih luas bagi pertumbuhan ilmu dan pengetahuan kepada generasi muda Sarawak, katanya.

“Ini adalah langkah penting untuk memastikan anak-anak kita menerima pendidikan terbaik demi masa depan yang cemerlang,’ katanya.

Untuk mencapai aspirasi PCDS 2030, Abang Johari berkata, adalah jelas Sarawak memerlukan sejumlah besar profesional yang berkemahiran tinggi, antaranya, seramai 500 pakar dalam bidang kejuruteraan, matematik, sains komputer serta kejuruteraan perisian bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Cancelor UNIMAS, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK