LAWAS: Penduduk di luar bandar khasnya di daerah ini harus memanfaatkan tanah di kawasan berkenaan bagi kegiatan pertanian dan pengeluaran makanan.
Langkah itu mampu meningkatkan ekonomi keluarga.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penduduk harus merebut peluang dengan mengusahakan tanah secara produktif.
“Tanah di kawasan ini sangat subur dan mempunyai potensi untuk dimajukan.
“Oleh itu, ambil peluang yang ada dengan mengusahakan tanah secara produktif serta mengelakkan sebarang pertikaian atau pencerobohan tanah kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Asnaf dan Berbuka Puasa LCDA Bersama Komuniti 2026 di Kampung Bukit Puan, Ulu Merapok, semalam.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak terus melaksanakan proses penyukatan tanah.
Ini katanya, selagi terdapat permohonan daripada rakyat bagi memastikan pengurusan pemilikan tanah dapat dilaksanakan secara lebih teratur.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas utama dalam membina kehidupan yang sejahtera, termasuk pengetahuan akademik, pendidikan agama serta kemahiran mengurus kehidupan.
Seramai 348 penerima asnaf di kawasan Lawas menerima sumbangan berjumlah RM40,000 dalam majlis anjuran Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) agensi berkenaan.
