Perbincangan dengan universiti awam tawarkan program lepasan ijazah

SIBU: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak akan mengadakan perbincangan bersama universiti awam untuk menawarkan program lepasan ijazah.

Menurut timbalan menterinya, Datuk Dr Annuar Rapaee, usaha ini membuka peluang yang lebih luas kepada guru-guru daripada Sarawak untuk melanjutkan pelajaran.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang memberi kekangan atau yang tidak begitu memberi semangat kepada guru-guru.

“Pertama, peluang mereka terlalu sedikit untuk guru-guru Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lepasan ijazah. Kedua, jika mereka mengambil sendiri, mereka terpaksa pergi ke Semenanjung untuk kelas tambahan atau jarak jauh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutupan Persidangan Guru Muda Sarawak (PGMS) 2024 di di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.

Atas sebab itu, katanya, perbincangan awal dengan universiti-universiti awam diadakan supaya mereka dapat menawarkan kursus lepasan ijazah di beberapa universiti seperti Swinburne, Curtin dan UTS.

“Di peringkat awal, masih lagi di peringkat perbincangan. Dan jika ini dapat direalisasikan maka peluang untuk anak-anak Sarawak para guru daripada Sarawak untuk melanjutkan pelajaran peringkat lepasan ijazah ini akan terbuka luas,” katanya.

Dr Annuar yang juga ADUN Nangka mengucapkan tahniah kepada Jawatakuasa Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak yang definisinya untuk guru Sarawak yang umur bawah 45 tahun.

“Kita akan mempunyai satu program untuk meningkatkan pencapaian pendidikan bagi membantu anak-anak Sarawak untuk meningkatkan tahap pendidikan,” katanya.